Maklumat Komputer: Definisi Ingatan Capaian Rawak (RAM)

20110219

Definisi Ingatan Capaian Rawak (RAM)


Ingatan capaian rawak atau random access memory (RAM) ialah sejenis bentuk storan data komputer. Lazimnya ia merupakan gabungan beberapa litar bersepadu di atas satu modul. Modul ingatan ini kemudian dimasukkan ke slot RAM di atas papan induk.

Jumlah kapasiti pada sesuatu modul RAM itu biasanya gandaan dari angka dua. Manakala unit ukuran yang digunakan untuk mengukur RAM pula ialah Megabait (MB). 1 MB bersamaan dengan 100 Kilobait (KB). Contoh kapasiti modul RAM ialah 64 MB, 128 MB dan 256 MB. Kebanyakan papan induk mempunyai sekurang-kurangnya 2 slot modul ingatan. Ini membolehkan beberapa modul ingatan dimasukkan di atas papan induk (bank ingatan). Teknologi “saluran duaan” berteraskan kepada dua modul yang kecil untuk membentuk satu kapasiti yang besar. Ini membolehkan capaian data pada kadaran yang lebih cepat. Misalnya untuk memiliki jumlah sebanyak 512 MB, kadar capaian data untuk dua keping modul 256 MB adalah lebih cepat berbanding dengan satu memori modul sebanyak 512 MB.

Kegunaan RAM
Kegunaan utama RAM adalah untuk menyimpan maklumat-maklumat sementara yang sedang digunakan oleh aplikasi-aplikasi yang sedang berjalan. Oleh itu, RAM hanyalah ingatan sementara dan akan terpadam apabila komputer ditutup berbanding dengan cakera keras atau cakera optik yang mempunyai ingatan secara kekal. RAM digunakan kerana ingatan (memory) sementara tersebut boleh dicapai dengan rawak dangan kadar yang lebih pantas. Oleh itu, lebih besar ruang (diukur dengan Bait) dan kelajuan (diukur dengan Hertz) sesuatu RAM sangat mempengaruhi potensi sesebuah komputer.

Jumlah kapasiti yang lebih besar diperlukan dalam perisian-perisian CGI, permainan berkomputer dan simulator. Ini adalah kerana perisian tersebut lebih banyak menyimpan ingatan sementara.

Kebaikan RAM
Antara kebaikan RAM ialah pengendalian aplikasi yang lebih lancar dan juga mempunyai kadar perpindahan data yang lebih tinggi berbanding dengan cakera keras. Kos pembuatan RAM juga rendah dan bersifat PnP “plug and play” dimana modul memori boleh terus digunakan selepas dipasang.

Ingatan fizikal dan ingatan maya
“Ingatan fizikal” ialah jumlah kapasiti memori yang dimasukkan ke dalam komputer yakni modul-modul RAM. Manakala “ingatan maya” ialah jumlah kapasiti memori secara maya. “Ingatan maya” ditempatkan di dalam cakera keras sebagai pengganti “ingatan fizikal”/RAM apabila kapasitinya sudah penuh. Namun, “ingatan maya” mempunyai kadar perpindahan data yang lebih rendah berbanding “ingatan fizikal”.

Secara umumnya, jumlah optimum ruang cakera keras yang perlu diperuntukkan untuk dijadikan ruang ingatan maya ialah bersamaan 1.5 kali jumlah ingatan fizikal yang dipasang pada komputer, contohnya jika komputer anda dilengkapi dengan 1 GB RAM, anda perlu memperuntukkan sebanyak 1.5 GB ruang cakera keras untuk dijadikan ruang ingatan maya.

Perkembangan RAM
  1. Pada tahun 1987, RAM jenis FPM (Fast Page Mode) diperkenalkan. FPM merupakan bentuk RAM yang paling kerap digunakan dalam system komputer pada masa itu. FPM juga turut dikenali sebagai DRAM (Dynamic Random Access Memory) sahaja. FPM menggunakan modul memori SIMM (Single Inline Memory Module) 30 pin dan SIMM 72 pin.
  2. Pada tahun 1995, perkembangan teknologi maklumat telah menghasilkan modul memori yang seterusnya iaitu EDO (Extended Data Out). EDO mirip dengan FPM, cuma ia diubahsuai sedikit untuk membolehkan akses memori berturutan berlaku dengan labih pantas. Ini bermakna ‘pengawal memori’ boleh menjimatkan masa dengan mengurangkan beberapa langkah dalam proses pengalamatan (addressing). EDO juga membolehkan CPU mengakses memori 10% hingga 15% lebih pantas berbanding dengan FPM.
  3. Pada tahun 1997, SDRAM diperkenalkan. Pada mulanya, kelajuannya hanyalah 66 MHz.
  4. Pada tahun 1999, RDRAM diperkenalkan pada kelajuan 800 MHz.
  5. Pada tahun 2000, DDR-SDRAM diperkenalkan. RAM ini merupakan inovasi daripada SDRAM di mana ia menjanjikan kelajuan yang lebih tinggi kepada penggunanya.
  6. Pada tahun 2004, DDR2 SDRAM diperkenalkan. Jenis RAM ini adalah generasi kedua DDR-SDRAM yang dikeluarkan walaupun bilangan pin pada modulnya berbeza dengan DDR-SDRAM.

No comments:

Post a Comment