Maklumat Komputer: Universal Serial Bus - USB

20110219

Universal Serial Bus - USB


USB memberikan piawai bas bersiri untuk peranti penyambung, biasanya untuk komputer peribadi dan Apple Macintosh, dan digunakan semakin meluas juga untuk konsol permainan video seperti Microsoft Xbox 360, Nintendo Wii, Sony PlayStation 2, dan PDA, serta untuk perkakas seperti televisyen dan kelengkapan stereo rumah. Pelaksanaan USB berdasarkan spektrum radio dikenali sebagai USB Wayarles atau WUSB.

Versi terbaru USB adalah versi 3.0. Perbezaan paling ketara antara versi baru dan lama adalah kepantasan pemindahan data yang jauh meningkat.

Pengenalan
Sistem USB mempunyai reka bentuk asimetri, mengandungi pengawal hos dan berbilang peranti disambung menurut bentuk pohon dengan menggunakan peranti hab khas. Terdapat had lima aras cabang hab bagi setiap pengawal. Sehingga 127 peranti boleh disambungkan kepada pengawal hos tunggal, tetapi peranti hab mesti turut diambil kira. Komputer moden kemungkinannya mempunyai beberapa pengawal hos dengan itu jumlah peranti berguna yang disambung jauh lebih rendah berbanding dari apa yang boleh disambungkan kepada pengawal tunggal. Pemutus (terminator) tidak diperlukan untuk bas USB, sebagaimana yang diperlukan bagi SPI-SCSI dan beberapa yang lain.

Rekabentuk USB adalah bertujuan untuk memansuhkan keperluan untuk menambah kad tambahan berasingan kepada slot ISA atau PCI, serta menambah baik keupayaan Palam dan Main dengan membenarkan peranti untuk disambungkan atau dutanggalkan secara terus tanpa menghidupkan semula komputer. Apabila peranti baru disambungkan buat pertama kali, komputer hos akan mengecam peranti tersebut dan seterusnya memuatkan fail pemacu yang diperlukan untuk menjalankannya.

USB boleh menyambungkan perkakasan komputer seperti tetikus, papan kekunci, pad permainan dan kayu bedik, pengimbas, kamera digital, pencetak, cakera keras dan komponen rangkaian komputer. Bagi peranti multimedia seperti pengimbas dan kamera digital, sambungan USB menjadi sambungan piawaian. Bagi pencetak pula, populariti USB secara beransur-ansur menggantikan port selari kerana teknologi USB memudahkan pengguna untuk menyambungkan lebih daripada satu pencetak pada komputer.


No comments:

Post a Comment