Maklumat Komputer: Tetikus (Mouse)

20110219

Tetikus (Mouse)


Tetikus ialah peranti input ke komputer yang berfungsi mengawal gerakan penunjuk atau kursor pada skrin paparan. Ia merupakan peranti kecil yang bergerak di atas permukaan keras dan rata.

Tetikus ini amat diperlukan terutamanya sekali apabila menggunakan sistem pengendalian tetingkap (Window) seperti Microsoft Windows, Linux dll. Tetikus memudahkan seseorang pengguna untuk mengendalikan perisian animasi, grafik, dan atur cara penerbitan meja. Apabila tetikus digerakkan, penunjuk pada skrin paparan akan bergerak dalam arah yang sama dan ia akan berubah mengikut lokasi di mana tetikus tersebut berada.


Input tetikus juga biasanya digunakan untuk domain atur cara penggunaan yang khusus. Dalam grafik tiga dimensi interaktif, gerakan tetikus seringnya ditukar secara langsung menjadi perubahan orientasi kamera maya. Misalnya, dalam permainan genre penembak diri pertama, pemain biasanya menggunakan tetikus untuk mengawal arah yang dihadap oleh "kepala" pemain maya. Menggerakkan tetikus ke arah atas skrin akan menyebabkan pemain melihat ke atas dan mendedahkan pemandangan di atas kepala pemain.

Mouse, nama tetikus dalam bahasa Inggeris, dicipta oleh Institut Penyelidikan Stanford dan berasal daripada persamaan model tetikus yang awal (yang memiliki kord pada bahagian belakang peranti yang kelihatan seolah-olah ekor) dengan tikus. Penerbitan perkataan mouse pertama yang diketahui adalah dalam terbitan Computer-Aided Display Control oleh William English pada tahun 1965.

Jenis Tetikus

Terdapat beberapa jenis tetikus yang dibahagikan kepada beberapa jenis berdasarkan ciri ciri fizikal dan keupayannya seperti:
  • Tetikus bebola dengan wayar.
  • Tetikus bebola tanpa wayar.
  • Tetikus optik dengan wayar.
  • Tetikus optik tanpa wayar.

Setiap tetikus biasanya mempunyai 1 hingga 3 bebutang. Bagi tetikus yang mempunyai lebih daripada satu butang, perisian boleh memperuntukkan berbagai-bagai fungsi kepada setiap butang. Seringnya, butang primer (butang yang paling kiri untuk tatarajah tangan kanan) adalah untuk memilih item, dengan butang sekunder (yang paling kanan untuk tatarajah tangan kanan) untuk memunculkan menu tindakan alternatif bagi item tersebut. Misalnya, bagi pelantar yang mengandungi lebih daripada satu butang, pelayar Mozilla akan:
  • mengikut pautan sebagai balasan kepada klik butang primer;
  • memunculkan menu konteks tindakan alternatif untuk pautan itu sebagai respons kepada klik butang sekundar; dan
  • seringnya membuka halaman pautan di dalam tab atau tetingkap baharu sebagai respons kepada klik butang tertier (tengah).

Bagaimanapun fungsi tetikus asas masih sama dan biasanya boleh dibahagikan kepada empat aktiviti utama, iaitu:
  1. Klik atau klik tunggal – untuk membuat pilihan yang tertentu pada skrin. 
  2. Dwiklik – untuk membuka dokumen atau memulakan program.
  3. Klik kanan – untuk memaparkan senarai arah /program pada skrin komputer.
  4. Heret dan lepas – untuk proses pemindahan ikon/item pada skrin.

Kebaikan dan Kelemahan Tetikus


Kebaikan
  1. Tetikus memudahkan pengendalian perisian tetingkap. Pengguna tidak lagi perlu memudik menu yang berjela untuk melakukan pelbagai fungsi.
  2. Tetikus mudah dipelajari dan mempunyai fungsi yang piawaian.
  3. Tetikus tahan lama dan memerlukan penyelenggaraan yang mudah. Hanya perlu di cuci secara berkala.
  4. Tetikus memerlukan liang sambungan yang piawai.

Kelemahan
  1. Tetikus memerlukan ruang yang rata dan luas untuk digunakan.
  2. Penggunaan tetikus untuk waktu yang lama secara berpanjangan akan menimbulkan tekanan kepada pergelangan tangan.
  3. Tetikus berbola perlu dibersihkan secara berkala untuk memastikan pergerakan yang lancar dan tidak tersekat-sekat.

No comments:

Post a Comment